Saturday, June 20, 2009

Fahaman Wujudiah - Menurut Shaikh Hamzah Fansuri

Fahaman pemikiran wujudiah telah berakar umbi dalam pemikiran sufi sebelum abad ke-13 lagi, seperti Hallaj, Iman Al-Ghazali dan Ibn. 'Arabi, namun penggunaan istilah wahdah al-wujud sebagaimana yang kita ketahui sekarang bukan berasal daripada Ibn 'Arabi. Istilah wahdah al-wujud mula-mula diperkenalkan oleh Qunawi setelah beliau melakukan tafsir yang mendalam terhadap karya-karya Ibn-Arabi. Ia dikemukakan untuk menyatakan bahawa keesaan Tuhan (Tauhid) tidak bertentangan dengan penampakan pengetahuan-Nya yang pelbagai di alam ini. Tuhan sebagai Dzat Mutlak satu-satunya didalam keesaan-Nya memang tanpa sekutu, tiada perbandingan, tidak boleh diumpamakan dan tiada perkataan untuk mengungkapkan-Nya.

Tetapi kerana Dia menampakan wajah-Nya serta ayat-ayatNya diseluruh alam semesta dan di dalam diri manusia, maka Dia memiliki kehadiran spritual di alam kejadian ini. Kalau tidak demikian, Dia bukan Yang Zahir dan Yang Batin, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran, Dia lebih hampir dengan manusia daripada urat leher manusia sendiri. Contohnya, bila kita melihat bulan, matahari dan bintang, itu adalah tanda-tanda kewujudan Allah yang mencipta dan memelihara Alam ini, itu adalah tanda perbuatanNya yang memberikan kesan didalam jiwa manusia. BUKANLAH bulan, matahari dan bintang itu Tuhan. Tetapi ia adalah sebahagian daripada tanda kebesaran Tuhan dan penciptaan-Nya. Dasar-dasar wujudiah semacam inilah yang dikembangkan oleh 'Arabi yang diterima daripada gurunya Ahmad Al-Ghazali (adik kepada imam Al-Ghazali). Gagasan semacam inilah jugalah yang dibawa oleh Shaikh Hamzah Fansuri.

Menurut Al-'Arabi asas penampakan Tuhan melalui pengetahuan-Nya, yakni wujud-Nya, ialah CINTA, dengan perkataan lain cinta adalah hakikat wujud Tuhan, yang melalui itu, menampakan sebahagian daripada pengetahuan-Nya atau harta-Nya yang tersembunyi (kanz makhfi) dimungkinkan. Itu sebabnya kaum sufi seperti Iraqi, Jami dan Shaikh Hamzah Fansuri sendiri apabila berbicara tentang cinta ('isyq) yang dimaksudkannya ialah Wujud Allah. Menurut mereka, sifat-sifat Tuhan yang pada hakikatnya adalah cinta telah terkandung di dalam kalimat suci Bismillah Ar-Rahaman Ar-Rahim. Dalam bismillah itu terdapat dua macam Cinta Tuhan iaitu Rahman dan Rahim. Rahman dan rahim asalnya daripada perkataan rahmat. Rahman adalah rahmat Tuhan yang bersifat menyeluruh dan rahim adalah rahmat Tuhan yang bersifat spesifik. Dikatakan menyeluruh kerana sifat rahmat rahman itu berlaku pada semua penciptaanNya dan semua manusia. Segala yang ada dilangit dan di bumi tidak terlepas daripada rahmanNya. Semua beroleh wujud kerana rahmanNya dan diliputi oleh pengetahuanNya yang termanifestasi kerana dorongan CintaNya. Manakala rahim dikatakan bersifat spesifik kerana ia dilimpahkan kepada mereka yang menyintaiNya dengan penuh kesungguhan, keyakinan dan konsistant, iaitu orang yang mukmin dan muttaqin yang saleh, amal makruf, nahi mungkar dan melakukan mujahadah, sehingga akhirnya musyahadah dan mukasyafah.Gagasan ini dinyatakan dengan jelas oleh Shaikh Hamzah Fansuri dalam syairnya sebagaimana berikut.

Tuhan kita yang bernama qadim
Pada sekelian makhluq terlalu karim
Tandanya qadir lagi hakim
Menjadikan alam dari Al-Rahman Al-Rahim

Rahman itulah yang bernama Sifat
Tiada bercerai dengan Kunhi Zat
Disana terhimpun sekalian ibarat
Itulah hakikat yang bernama maklumat

Rahman itulah bernama Wujud
Keadaan Tuhan yang sedia ma'bud
Kenyataan Islam, Nasrani dan Yahud
Dari Rahman itulah sekalian maujud

Ma'bud itu terlalu bayan
Pada kedua alam kull qawm huwa fi sya'n
Ayat ini dari surah Al-Rahman
Sekalian alam di sana hairan

Ma'bud itulah bernama haqiq
Sekalian alam di dalamnya ghariq
Olehnya itu sekalian fariq
Pada kunhi-Nya tiada beroleh tariq

Haqiqat itu terlalu 'iyan
Pada rupa kita sekalian insan
Ayna-ma tuwallu suatu burhan
Fa tsamma wajhu Allah pada sekalian maqan

Insan itu terlalu 'ali
Hakikat Rahman yang mahabaqi
Ahsanu taqwimi itu rabbani
Akan kenyataan Tuhan yang bernama subhani

Subhani terlalu 'ajib
Dari habl al-warid pun ia qarib
Indah sekali qadi dan khatib
Demikian hampir tiada bernasib

Aho segala kita yang 'asyiqi
Ingat-ingat akan ma'nn insani
Jika sunggug engkau bangsa ruhani
Jadikan dirimu rupa sultani

Kenal dirimu hai anak 'alim
Supaya engkau nentiasa salim
Dengan dirimu yogya kau qa'im
Itulah hakikat salat dan sa'im

Dirimu itu bernama khalil
Tiada bercerai dengan Rabb Al-Jalil
Jika dapat ma'na dirimu akan dalil
Tiada berguna madzhab dan sabil

Kullu man 'alay-ha fanin ayat min Rabbihi
Menyatakan insan irji'i illa asliki
Akan insan beroleh tawfiqihi
Supaya karam di dalam sirru sirrihi

Situlah maujud sekalian fanun
Tinggalah engkai daripada mal wa'l-banun
Engkaulah 'asyiq terlalu junun
Inna li'LLahi wa inna ilayhi raji'un

Hamzah gharib unggas quddusi
Akan rumahnya Baik Al-Ma'muri
Kursinya sekalian kapuri
Min al-asyjari di negeri Fansuri

(Rujukan Cod. Or. 2016)

Fahaman Martabat Tujuh - Shaikh Hamzah Fansuri Bukan Pengasasnya..!

Umum mengatakan bahawa ajaran wujudiyah yang berkembang di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sampai saat ini hampir semuanya adalah ajaran martabat tujuh. Pendapat demikian adalah SALAH!. Alasannya ialah ajaran martabat tujuh baru berkembang pada awal abad ke-17 dengan Syamsudin Pasai sebagai penganjurnya yang pertama. Syaikh Hamzah Fansuri, dan juga para wali pulau Jawa abad ke-16 seperti Sunan Bonang dan Sunan Kalinja, tidak pernah menjadi penganjur ajaran martabat tujuh.

Tidak dinafikan ajaran martabat tujuh termasuk dalam ajaran wujudiyah, tetapi ia telah melalui pelbagai pengaruh terutamanya daripada india, seperti praktik yoga dalam berzikir, suatu amalan yang dikritik keras oleh Hamzah Fansuri. Umum maklum bahawa pengasas pertama ajaran martabat tujuh ialah Mohamad Fadlulah Al-Burhanpuri (1620) yang berasal daripada India dan semasa ajaran ini diasaskan pelbagai gerakan sinkresis keagamaan dan mistik telah berkembang di India, khususnya pada zaman Sultan Akbar dan Dara Sukoh.

Sebagai ahli tasauf Shaikh Hamzah Fansuri tidak pernah memperlihatkan dalam karya-karyanya bahawa beliau mempunyai hubungan dengan tasauf yang berkembang di India pada abad ke-16 dan 17. Shaikh Hamzah Fansuri mengaitkan dirinya dengan ajaran para sufi Arab dan Parsi sebelum abad ke-16. Terutamanya Bayazid Bisthami, Mansur Al-Hallaj, Fariduddin 'Attar, Syekh Junaid Al-Baghdadi, Ahmad Ghazali, Ibn. Arabi, Rumi, Maghribi, Mahmud Shabistari, 'Iraqi dan Jami. Tokoh idola Shaikh Hamzah Fansuri di dalam cinta ('isyq) dan makrifat ialah Bayazid dan Al-Hallaj.

Syair Hamzah Fansuri - Part I

Aho segala kita anak Adam (Oh my fellow-Adamites)
Jangan lupa akan Shahi Alam (Do not forsake the Ruler of universe)
Pada Bahr al-dhunub jangan terkaram (Do not get drowned in the ocean Sin)
Supaya 'ashiq siang dan malam (So that you may be lovers all the day)