Friday, June 19, 2009

Latar Belakang - Shaikh Hamzah Fansuri

Shaikh Hamzah Fansuri bukan sahaja seorang ulamak tasauf tetapi juga sastrawan terkemuka dan beliau adalah perintis dan pelopor dalam bidang ketuhanan, keruhaniah, falsafah, bahasa dan sastera. Beliau diperkirakan hidup diantara pertengahan abad ke-16 dan awal abad ke-17. Berasal dari Fansur, sebutan orang-orang arab terhadap Barus, iaitu sebuah kota kecil di pantai barat sumatra yang terletak diantara kota sibolga dan Singkel.

Valentijn seorang sarjana Belanda yang mengunjungi Barus pada tahun 1709 menulis dalam sebuah bukunya "...Seorang penyair melayu, Hamzah Pansur..yakni orang yang sangat terkemuka di lingkungan orang-orang melayu oleh kerana syair-syair dan puisi-puisinya yang menakjubkan, membuat kita karib kembali dengan kota tempat lahir sang penyair bilamana di dalam puisi-puisinya yang agung dia mengangkat naik dari timbunan debu kebesaran dan kemegahan masa lampau kota itu dan mencipta kembali masa-masa gemilang dari kebesarannya..."

Hamzah Fansuri juga adalah seorang intelektual melayu yang berani pada zamannya, kritikan-kritikannya yang tajam terhadap perilaku politikus,raja-raja, para bangsawan dan orang-orang kaya yang tamak haloba dan zalim, menyebabkan beliau tidak disukai oleh golongan istana. Kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair-penyair lain yang sezaman dengannya. Beliau juga dalah seorang penulis pertama kitab keilmuan dalam bahasa melayu.

Diantara karya-karya Shaikh Hamzah Fansuri yang telah dijumpai ialah tiga(3) risalah tasauf, 33 ikatan syair (setiap ikatan terdiri daripada 13, 15 dan 19 bait syair), naskah yang memuatkan ikatan-ikatan syair shaikh paling banyak ialah Minuskrip Jakarta (MS Jak. Mal. No. 83) sayangnya separuh daripada teks ini mengalami kerosakan dan hanya sepertiga yang boleh dibaca. 3 risalah tasauf yang ditemui ialah Syarab Al-'Asyiqin (Minuman Orang-Orang Berahi), Asrar Al-'Ariffin (Rahasia Ahli Makrifat) dan Al-Muntahi.

Sayang sekali bukti-bukti ilmiah yang menyatakan bilakah Shaikh lahir, meninggal dunia dan dimanakah jasadnya dikebumikan tidak ditemui sehingga sekarang. Satu masalah lagi ialah disebabkan oleh pelarangan dan pemusnahan kitab-kitab karangan beliau baik memenuhi fakwa Nuruddin Al-Raniri dan perintah Sultan Iskandar Thani (1637-1641). Nuruddin Al-Raniri ialah ulama istana Aceh ketika itu yang membuat fatwa ajaran tasauf Shaikh Hamzah Fansuri dan murid Shaikh iaitu Syamsudin Pasai adalah ajaran kafir zindiq. Ribuan kitab tasauf dikumpulkan di Masjid Raya Kutaraja untuk dibakar dan dimusnahkan.