Wednesday, December 28, 2011

Biografi Hamzah Fansuri Berdasarkan Minuskrip Melayu Lama.

Dalam Ensiklopedi Umum (1973) mengatakan Hamzah Fansuri adalah seorang penyair dan ahli tasawuf yang berasal dari Barus, Sumatera. Aliran Hamzah Fansuri dalam ilmu tasawuf sangat terpengaruh sehingga ke Tanah Jawa. Hamzah Fansuri banyak terkesan dengan karya-karya serta ketokohan Ibnu Arabi, Al-Hallaj, Al-Djunaid dan Jajaludin ar-Rumi kerana nama-nama ini ada disebut dalam kebanyakkan karya Tasawwufnya.

Aliran Hamzah Fansuri terkenal dengan teori Wahdatul Wujud di mana fahaman ini sangat ditentang oleh Nuruddin Ar-Raniri. Antara bentuk karangannya yang sangat terkenal adalah Syair Perahu, Syair Burung Pungai, Syair Dagang dan lain-lain (Hasan Shadily 1973: 321). Mengenai tarikh lahir Hamzah Fansuri ia masih diperdebatkan sehingga ke hari ini, Ooi Keat Gin (2004) dalam ensklopedianya menyatakan bahawa beliau lahir pada fasa kedua dalam abad ke-16 di bawah kepimpinan serta kesultanan Sultan Alaudin Riayat Shah Ibn Firman Shah (1589-1604) (Ooi Keat Gin. 2004: 560). Drewes dan Brakel (1986) pula berpendapat yang mengatakan bahawa beliau hidup sehingga zaman kesultanan Iskandar Muda (Mahkota Alam) iaitu antara tahun 1607 sehingga 1636 masihi. Berdasarkan penelitian dan kajian jelas mengatakan bahawa beliau meninggal dunia antara sebelum atau pada tahun 1590 masihi (Drewes dan Brakel 1986:3). Manakala Naquib Al-Attas dalam membicarakan mengenai tahun kelahiran Hamzah Fansuri, beliau membawakan beberapa bait syair Hamzah Fansuri yang boleh dijadikan justifikasi kepada isu ini, iaitu:

Sjah ‘Alam Radja jang adil
Radja Qoetoeb jang sampoerna kami
Wali Allah sampoerna wasil
Radja arif lagi mukammil
Bertambah daulat Sjah

Bertambah daulat Sjah ‘Alam
Makota pada sekalian Alam
Karoenia ilahi Rabb al-‘alamina
Menjadi radja kedoe alam.

Dari keterangan dan bukti yang dikemukakan sarjana-sarjana di atas dapat penulis tegaskan, bahawa Hamzah Fansuri hidup semasa Sultan ‘Ala al-Din Riayat Syah (1589-1602) atau pada akhir abad ke-16 sampai abad ke-17 dan diperkirakan Hamzah Fansuri meninggal dunia sebelum atau pada 1016/1607 sesuai dengan bukti-bukti yang dikemukan oleh Naquib al-Attas (Naguib al-Attas 1970:70). Lebih tepat lagi A. Hasmy dalam kertas kerjanya mengatakan bahawa pada akhir pemerintahan Sulthan Iskandar Muda Meukuta Alam (wafat 29 Rajab 1046 H = 27 Desember 1636 M.), Syekh Hamzah Fansuri meninggal dunia di Wilayah Singkel, dekat kota kecil Rundeng. Beliau dimakamkan di Kampung Oboh Simpang Kiri Rundeng di Hulu Sungai Singkel. (A. Hasmy 1984:11).

Manakala tempat Hamzah Fansuri dilahirkan, kebanyakkan sarjana sepakat beliau berasal dari Fansur bersempena dengan nama dibelakangnya iaitu Fansuri. Fansur adalah sebuah pelabuhan Pantai Barat di Utara Sumatera antara Singkil dan sibolga. Orang luar menggelarkan tempat ini sebagai Fansur tetapi ia sebenarnya Barus dalam bahasa tempatan (Ooi Keat Gin. 2004: 561). Memetik dari dari karya (Naguib al-Attas 1970:5-8), beliau mempunyai pendapat berlainan dengan mengatakan bahawa Hamzah pernah menulis dalam syairnya bahawa beliau lahir di Shahr Nawi (Shah r-i-Nawi) atau Ayutthaya, Thailand. Tetapi disanggah Drewes dan Brakel (1986) yang mengatakan ini hanya teori dan kemungkinan Hamzah Fansuri telah menjelajah atau bermusafir sehingga ke Ayutthaya dan menuntut bersama orang Parsi di sana berbanding mengatakan bahawa ia lahir di sana (Drewes dan Brakel 1986:5).

Untuk lebih tepat, penulis menyertakan satu bait syair yang menerangkan tempat kelahiran Hamzah Fansuri yang berbunyi:

Hamzah nin asalnya Fansuri
Mendapat wujud di tanah Shahrnawi
Beroleh khilafat ilmu yang alu
Daripada ‘Abd al-Qadir Jilani.

Hamzah Fansuri semasa hayat hidupnya sangat suka menjelajah atau bermusafir keseluruh Nusantara dan Tanah Arab, antaranya Pahang, Ayttuhaya, Mughal India, Mekah, Madinah dan juga Baghdad. Oleh yang demikian dalam mengagaskan ilmu wahdatul wujud, beliau sangat terpengaruh dengan pandangan Ibnu Arabi yang berasal dari Sepanyol ketika mana beliau menjelajah ke Mughal India dan juga Parsi sekitar abad ke-16. Hamzah Fansuri ketika mana mengajarkan doktrin wahdatul wujud, beliau berada di Aceh sekitar suku terakhir abad ke-16 yang dianggap sebagai kuasa besar dalam politik dan ketenteraan dan juga pusat Islam yang pesat menggantikan Melaka yang ketika itu ditawan oleh Portugis pada 1511.

Hamzah Fansuri banyak dikritik oleh Nuruddin al-Raniri (1658). Beliau mengatakan bahawa Hamzah dan Syamsuddin Sumatrani yang mengajarkan wahdatul wujud adalah sesat dan bertentangan dengan apa yang difahami oleh beliau. Ini adalah kerana di India, wahdatul wujud sangat ditentang oleh ahli aqidah di India dan situasi yang sama dibawa ke Aceh dengan mempengaruhi Sultanah Taj al-Alam Safatudin Shah (1641-1675) untuk membakar dan mengharamkan nama Hamzah Fansuri dan karyanya. Oleh yang demikian, nama dan peranan Hamzah Fansuri banyak tidak kelihatan dalam karya Indonesia seperti Hikayat Acheh (Ooi Keat Gin. 2004: 561-562).

Tuesday, December 27, 2011

Maqamat Kesufian dalam Syair Hamzah Fansuri oleh Ab. Halim Mohamad

Menurut Abdul Hadi, Hamzah Fansuri merupakan penyair yang tersohor di alam Melayu abad ke-16 yang menjadi buah mulut kalangan sarjana di Nusantara. Beliau merupakan intelektual dan ahli sufi yang terkemuka dan dianggap perintis dalam pelbagai bidang keilmuan. Hamzah berjaya merintis tradisi baru dalam penulisan sastera Melayu-Indonesia, khususnya di bidang penulisan sastera yang bercorak Islam di abad ke 16 dan ke 17 (2001: 117). Beliau merupakan Bapa Sastera Melayu dan orang yang pertama menulis dalam bahasa Melayu tentang banyak aspek tasawuf (Muhammad Bukhari: 123).

Sehingga kini belum lagi ditemui syair yang mendahului syair Hamzah Fansuri dan Hamzah dianggap pelopor bentuk tersebut (Voorhoeve: 278). Mengikut Syed Naguib al-Attas, syair Hamzah Fansuri terawal yang masih wujud dianggap berasal dari seorang ahli mistik Sumatra abad ke-16 (lihat Siti Hawa Haji Saleh: 123). Hamzah Fansuri juga disifat sebagai seorang muslim yang sangat bertakwa yang disanjungnya ialah khalik yang mencipta alam semesta dan menentukan takdir-Nya (Muhammad Naquib al-Attas, 1970: 322). Dia ialah seorang ahli tasawuf, zahid dan mistik yang mencari penyatuan dengan khalik dan menemuinya di jalan isyk (cinta) (V.I Braginsky, 1994: 15)

Al-Qusyayri telah menerangkan empat puluh sembilan keadaan dan kedudukan (ahwal dan maqamat) bagi golongan sufi secara terperinci 49 maqamat (kedudukan) dalam bukunya sufinya yang tekenal yang bertajuk al-Risalah al-Qusyayriyyah fi ‘Ilm al-tasawuf (al-Qusyayri, 1993: 91-350).

Secara ringkasnya, ahwal dan maqamat itu antaranya adalah seperti, al-Tawbat (bertaubat), al-Mujahadah (bermujahadah), al-Khulwah dan ‘Uzlah (berada di tempat sunyi dan mengasingkan diri untuk beribadat), al-Taqwa (taqwa), al-wara‘ (warak), al- Zuhd (zuhud), al-Samt (diam atau tidak banyak bercakap), al-Khawf (takut), al-Raja’ (harapan), al- Huzn (sedih), al-Jaw‘ wa tarq al-shahwat (Lapar dan meninggalkan Syahwat), al-Khusu‘ wa altawadu‘ (khusuk dan tawaduk), Mukhalafah al-nafs (menyalahi hawa nafsu), al-Hasad (dengki), al- Qana’ah (memadai atau cukup dengan apa yang ada), al-tawakkul (tawakal), al-Syukr (syukur), al- Yaqin (yakin), al-Sabr (sabar), al-Muraqabah (pemerhatian), al-Rida (reda), al-‘Ubudiyyah (pengabdiyan), al-Iradah (kemahuan), al-Istiqamah (tetap pendirian), al-Ikhlas (ikhlas), al-Sidq (benar),al-haya’ (malu), al-Hurriyyah (kebebasan), al-Zikr (zikir), al-Futuwwah (Tidak menyakiti, berbuat baik, mengikuti sunnah Nabi, kesetian, menzahirkan nikmat dan menyembunyikan kesusahan dan lainlain), al-Firasah (firasat), al-Khuluq (akhlak), al-Jud wa al-sakha’ (murah hati atau suka bersedekah), al- Ghirah (cemburu terhadap kebaikan), al-Walayah (kewalian atau kepimpinan), al-dua’ (doa), al-Faqr (kemiskinan), al-Tasawwuf (tasawwuf, adab akhlak atau menjaga akhlak), al-Adad (adab), Ahkam alsafar (hukum-hukum musafir), al-Suhbab (persahabatan), al-Tawhid (tauhid), al-Khuruj min al-Dunya (keluar daripada dunia yang fana), al- Ma‘rifah Allah (mengenal Allah), al-Mahabbah (kasih sayang), al-Syawq (rindu kepada Allah), al- Sima‘ (mendengar ajaran agama).

Maqamat (Kedudukan) Kesufian dalam Syair Hamzah Fansuri cuba menghuraikan dan menganalisis maqamat yang cuba ditonjolkan oleh Hamzah Fansuri dalam syairnya berdasarkan 49 maqamat yang dinyatakan oleh al-Qusyayri dalam bukunya “al-Risalah al-Qusyayriyyah” seperti yang tersebut di atas. Oleh kerana maqamat itu banyak, maka beberapa maqamat yang lebih dominan sahaja dalam syair Hamzah diketegahkan. Ia adalah seperti yang berikut:

(1) Taubat: Hamzah Fansuri cuba mengambil dalil atau bukti daripada ayat al-Qur’an tentang perlunya sesaorang hamba itu bertaubat sekiranya ia megakui bahawa Allah (s.w.t) adalah tuhannya. Firman Allah dalam surah al-Tahrim, ayat 8, yang mafhumnya:

“Wahai orang yang beriman! Bertaubatkan kepada Allah dengan taubat yang sebenar-sebenarnya”. Ini dapat dilihat dalam syairnya yang berikut:

Dalil ini bahawasanya min Allah
Ya ’ayyuha al-lazina ’amanu tubu ’ila Allah
Jika engkau da’im mengatakan Rabbi Allah
Mangkanya dapat menafikan ma siwa Allah
(Abdul Hadi W.M, 2001: 368)

Allah meminta sekelian hambanya yang mukmim supaya bertaubat. Ini kerana setiap anak Adam itu pasti melakukan kesalahan, seperti sabda Nabi (s.a.w) ( (كل ابن آدم خطاءین وخیر الخطاءین التوابین “Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-sebaik orang yang bersalah ialah orang yang bertaubat”.

Tujuan bertaubat adalah supaya hamba Allah itu dapat membersihkan daripada dosanya dan supaya Allah (s.w.t) memasukkannya dalam golongan orang-orang yang bersih. Sememangnya Allah (s.w.t) sukakan hambanya yang bertaubat seperti firman-Nya { {إن لله یحب التوابین ویحب المتطھرین (al-Baqarah: 222). Maksudnya “Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersih”. Konsep ini diungkapkan oleh Hamzah seperti dalam syairnya yang berikut:

Qala Allah Ta‘ala pada sekalian muslimin
Yokya kau taubat dari dosa mu ajma‘in
Hafaz-kan ’inna Allah yuhibbu al-tawwabin
Supaya masuk ke dalam ma‘na mutatahhirin
(Abdul Hadi 2001: 371)

Allah subhanahu wata‘ala meminta hamba-Nya bertaubat daripada dosanya yang lalu. Sebanyak
mana hambanya bertaubat tidak mencukupi. Ini kerana hamba-Nya itu sentiasa melakukan dosa sama ada kecil atau besar. Amalan bertaubat ini menjadikan manusia itu sentiasa berhubung dengan Allah yang maha kekal yang mana seseorang itu tidak dapat lari daripada-Nya. Ini dijelaskan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Taubat syari‘at dari dosa lalu
Akan hakikat tiada ia kafi
Jika belum dari adamu kau lari
Manakan wasil dengan tuhan yang baqi
(Abdul Hadi W.M, 2001: 368)

Allah (s.w.t) telah mengutus Rasul-Nya kepada sekelian manusia supaya menusia itu bertaubat
daripada dosanya mensyirikkan Allah (s.w.t). Sssungguhnya bertaubat itu adalah perbuatan yang dikasihi oleh Allah (s.w.t). Orang yang bertaubat dengan sebenar-benarnya ibarat orang yang suci bersih seperti tidak ada dosanya lagi, sebagaimana sabda Nabi (s.a.w)yang berbunyi (التائبون من ذنبھ كمن لا ذنب لھ) . Maksudnya “Orang yang bertaubat dari dosanya seperti orang yang tiada dosa (suci daripada dosa)”. Ajaran Islam ini dinyatakan dalam syairnya seperti berikut:

Ketahui Inna Allah arsala ‘abdahu
Menyuruh berkata pada sekelian ummatahu
’Al-ta’ibu min al-zanbi ka-man la dzanba lahu
Inilah perbuatan yang dikasih Rabbahu
(Abdul Hadi W.M, 2001: 371)

(2) Zuhud: Sa‘id Hawwa menerangkan tiga tanda orang yang zuhud. Pertama, dia tidak gembira dengan apa yang dia ada dan bersedih di atas kehilangannya. Kedua, dia tidak merasai apa-apa ketika dipuji atau dikeji. Ketiga, Hatinya sentiasa mendampingi Allah dan merasai kelazatan taat kepadaNya (Tanpa Tarikh: 316). Sabda Nabi (s.a.w) {إذا رأیتم الرجل قي أُوتي زھدا في الدنیا ومنطقا فاقتربوان الحكمة} ◌ّ منھ فإنھ یلقّ (al-Suyuti, Jil.1: 84). Maksudnya “Apabila kamu melihat seorang lelaki yang di beri sifat zuhud di dunia ini, maka hampirilah dia, kerana dia memahami kebijaksanaan”. Ahli makrifah yang bijaksana telah berkata “Apabila iman telah menyentuh luaran hati maka ia mencintai dunia dan akhirat. Tetapi apabila iman telah memasuki ke lubuk hati, dia membenci dunia” (Sa‘id Hawwa:316).

Hamzah Fansuri telah memetik hadis Nabi (s.a.w)yang berbunyi: (حب الدنیا رأس الخاطئة وترك الدنیارأس كل العبادة ). Maksudnya “Cintakan dunia adalah punca segala keburukan, dan meninggalkan dunia merupakan punca segala amal ibadat. Hadis ini digambarkan dalam syairnya yang berbunyi:

Hadis masyhur terlalu bayyinah
Mengatakan dunya kesudahan sayyi’ah
Hubb al-dunya ra’s khati’ah
Tark al-dunya ra’s kull al-ibadah (2001: 364)

Hamzah mengingatkan manusia supaya tidak tergoda dengan perhiasan dunia yang sementara ini. Hati yang meninggalkan keseronokan dunia ini ialah hati yang bertakwa dan takutkan Allah (s.w.t), seperti katanya:

Emas dan perak jangan kau sayang
Supaya dapat mahbub kau amang (takut) (2001: 383)

Hamzah juga meminta manusia supaya berzuhud dan tinggalkan kekayaan dan kemewahan dunia yang kelihatan bercahaya. Ini kerana berapa banyak kalkatu mati disebabkan oleh cahaya. jika mahu selamat di akhirat nanti. Kemewahan dunia adalah fatamorgana yang membahayakan kehidupan manusia. Ia sebagai kalkatu yang mati disebabkan kepanasan cahaya lampu. Oleh itu, sekiranya manusia ingin mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t), ia mesti meninggalkan kemegahan bangsa dan kekayaan dunia yang sementara itu. Hal ini diungkapkan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Jika hendak jangan berbahaya
Tinggalkan bangsa dan kaya
Jangan waqif di pulau cahaya
Supaya hampir dengan Mulia Raya (2001: 397)

(3) Meninggalkan syahwat: Nafsu syahwat adalah musuh manusia yang sentiasa mendorong manusia melakukan perkara keburukan seperti firman Allah (s.w.t) lagi {إنا جعلنا ما على الأرض زینة لھا لنبلوھم أیھم أحسن عملا} (al-Kahf:7). Maksudnya “Kami jadikan apa yang ada dimuka bumi ini sebagai perhiasannya, untuk menguji kamu siapakah yang lebih baik amalannya”. Firman Allah lagi {وأما من خاف مقام ربھ ونھى النفس عن الھوى فإن الجنة ھي المأوى} (al-Nazi‘at: 40-41). Maksudnya “Adapun orang yang takut kepada kedudukan (kebesaran) tuhannya dan menegah dirinya daripada hawa nafsu, maka baginya (Allah sediakan) syurga ma’wa”. Orang yang tidak takutkan Allah (s.w.t) dan menurut hawa nafsu sentiasa melakukan maksiat, menjadi penderhaka, memakan makanan yang haran, melakukan zina. Ini dinyatakan oleh hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Perbuatan ma‘siat da’im kau cari
Tiada kau takut akan jadi ‘asi
Rizqi mu haram lagi kau zani
Manakan sampai kau pada ilahi (2001: 370)

Orang yang yang sentiasa mengikut hawa nafsunya, didapati sesat dalam pekerjaannya dan tersasar daripada jalan yang diredai Allah (s.w.t). Mereka berkawan dengan nafsu dan tamakkan keduniaan. Nafsu adalah musuh manusia, oleh itu, ia harus dilawan dan ditanggani mengikut lunas-lunas Islam supaya manusia hidup bebas daripada cengkaman nafsu dan disayangi oleh Allah. Konsep ini dijelaskan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Aho segala kita yang menyembah hawa
Kerjamu itu terlalu ghawa (2001: 375)

Mencari dunia berkawan-kawan
Oleh nafsu kamu tertawan
Nafsu itu yogya kau lawan
Mangkanya supaya engkau bangsawan (2001: 386)

Hamzah juga menasihati hamba Allah (s.w.t) supaya tidak melakukan perkara yang dilarang oleh
Allah (s.w.t) di dunia ini. Sesiapa yang terpikat dengan keajiban dunia ini dan menghampirinya, nescaya di akhirat nanti dia tidak mendapat apa-apa pembelaan daripada Allah (s.w.t). Seperti firman Allah (s.w.t) {..ومن كان یرید حرث الدنیا نؤتھ منھا وما لھ في الآخرة من نصیب} (al-Syura: 20). Maksudnya “Sesiapa yang mahukan kebaikan dunia kami berikan kepadanya kebaikan itu, dan di akhirat kelak dia tidak memperolehi apa-apa bahagian”. Hal ini dinyatakan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Dengarkan hai anak dagang
Jangan gila mencari larang
Buang diri di tengah padang
Supaya cepat lekas kau datang (352)

Dengarkan firman dari habib (388)
Eloknya dunya terlalu ‘ajib
Barang siapa kepadanya qarib
Wa-ma-lahu fi al-’akhirah min nasib

(4) Tawakkal: Banyak terdapat ayat-ayat dalam al- Qur’an yang meminta supaya manusia bertawakal dan bergantung kepada diri sendiri. Firman Allah (s.w.t) { وعلى لله فلیتوكل المؤمنون } (al-Imran: 160). Maksudnya “Dan kepada Allahlah orang-orang mukmin bertawakal”. Orang mukmin bertawakal kepada Allah (s.w.t) dan bukan kepada yang lain.

Hamzah Fansuri menerangkan bahawa ilmu Allah tentang pembahagian rezki kepada hambanya sudah diketahui sebelum ia dilahirkan dan sebelum langit dan bumi dijadikan. Manusia perlu bertawakal kepada Allah, dan jangan meminta kepada makhluk yang lain. Orang yang bertawakal kepada Allah nescaya ia memperolehi darjat yang tinggi. Hamzah melahirkan ajaran Islam ini dalam syairnya seperti berikut:

Rizqimu mawjud di dalam ma‘lumat
Lagi belum lahir al-‘ard wa al-samawat
Jika lagi engkau muhtaj ke rumah makhluqat
Manakan dapat beroleh ‘ali al-darajat (370)

Orang-orang mukmin yang bertakwa sentiasa bertawakal kepada Allah. Firman Allah (s.w.t) {وعلىلله فتوكلوا إن كنتم مؤمنین} (al-Ma’idah: 23). Maksudnya “Dan kepada Allah kamu bertawakal sekiranya kamu orang-orang yang mukmin”. Jika orang mukmin bertawakal kepada Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang maka sudah pasti dia digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang sabar. Hal ini dinyatakan dalam oleh Hamzah dalam syairnya yang berikut:

Dalil ini dibawa imam al-muttaqin
Ya‘ni fatawakkalu ’in kuntum mu’minin
Jika tawakalmu kepada Arhama al-Rahimin
Mangkanya dapat ke dalam qawm al-sabirin (370)

(5) ‘Ubudiyyah dan Istiqamah: Tauhid dan ubudiyah (penghambaan) merupakan permulaan dan pengkabisan. Ia adalah air kepada kehidupan, udara kepada manusia, dan roh kepada yang hidup yang meresapi dalam segenap bahagian anggota, termasuklah juga dalam niat dan amalan (Said Hawa, tanpa tarikh: 305). Ubudiyah merupakan kedudukan yang paling tinggi yang berpaksikan tauhid. Daripada kedudukan ini lahirnya ikhlas, syukur, benar, zuhud, takut, harapan, taqwa, dan kasih sayang serta kecintaan kepada Allah (s.w.t) (Ibid: 303). Orang yang benar-benar beriman sentiasa menjaga shahadat, sembahyang, puasa, zakat, dan haji yang merupakan rukun Islam. Rukun Islam ini yang menjadi tiang ibadat bagi setiap muslim seperti yang dinyatakan oleh Hamzah Fansuri dalam syairnya yang berbunyi:

Shahadat dan salat amal yang ‘azim (364)
Puasa dan zakat hajj bi-al-ta‘zim
Inilah fardu pada sekelian salim
Supaya dapat ke dalam jannat al-na‘im

Manusia dijadikan oleh Allah untuk beribadat kepada-Nya. Ia diminta supaya menyembah Allah
(s.w.t) dengan penuh penghambaan sehingga betul-betul yakin dengan kebesaran-Nya. Firman Allah (s.w.t) { واعبد ربك حتى یأتیك الیقین } (al-Hajar: 99). Maksudnya “dan sembahlah tuhan kamu sehingga kamu didatangi perasaan yakin”. Menyembah Allah (s.w.t) ini pastinya berlaku siang malam dan secara berterusan. Hamba yang saleh akan berpuasa pada siang hari dan melakukan sembahyang pada malamnya. Hal ini dinyatakan oleh Hamzah dalam syairnya yang berbunyi:

Siang hari hendak kau sa’im (377)
Malamnya yogya kau qa’im
Kurangkan makan lagi dan na‘im
Nafi dan isbat kerjakan da’im

Pada lima waktu tatkala qa’im (406)
Malam dan siang kurangkan na’im
Mangka dapat mahbub-mu da’im
Kerjakan salat lagi sa’im
Itulah makna bernama qa’im
Pada segala malam kurangkan na’im
Menafikan ‘alam kerjakan da’im (357)

Orang-orang yang benar-benar beriman dan sentiasa melakukan ibadat, mereka merasai akan kehadiran Allah (s.w.t) dan mencintai-Nya. Hati mereka sentiasa berhubung dengan Allah dan sentiasa mengingati-Nya, seperti kata Hamzah Fansuri dalam syairnya yang berbunyi:

Mahbub-mu itu tiada ber-ba‘id (386)
Pada aynama tuwallu jangan kau ghafil
Fa samma wajh Allah sempurna wasil
Inilah jalan orang yang kamil

(6) Murah hati: Islam mengajar penganutnya supaya banyak bersedekah dan bermurah hati. Orang yang bersifat pemurah samalah dengan Ali bin Abu Talib. Orang yang terlalu bakhil tidak akan dapat menjadi wali Allah dan jauh daripada rahmat Allah (s.w.t). Rasulullah (s.a.w) adalah seorang yang pemurah dan suka bersedekah. Hamzah Fansuri telah memgambarkan sifat pemurah ini dalam syairnya dengan menggunakan perkataan sakhi. Ia menggambarkan dalam syairnya bahawa orang yang pemurah itu adalah kekasih dan wali Allah (s.w.t):

Barang siapa sampai kepada sifatnya sakhi
Beroleh warith dari baginda ‘Ali
Mereka itu yang balhilnya qawi
Manakan dapat menjadi wali (365)

Sabda rasul al-sakhi habib Allah
Yakni yang sakhi itu wali Allah
Barang siapa bakhil da‘im ba‘id Allah

Nabi (s.a.w)pernah bersabda (اتقوا النار ولو بشق تمر، فإن لم یكن فبكلمة طیبة) . Maksudnya “Takutlah api neraka walaupun dengan sebelah buah tamar, sekiranya tiada juga, maka dengan perkataan yang baik” (Muhammad ‘Abdul ‘Aziz al-Khuli, t.tarikh: 124). Sabda Rasul (s.a.w) lagi berbunyi (السخي حبیب لله ولوكان فاسقا، البخیل عدو لله ولو كان زاھدا) . Maksudnya “Orang yang pemurah itu adalah kekasih Allah walaupun ia seorang yang fasiq, dan orang yang kedekut itu adalah seteru Allah walaupun ia seorang yang zuhud”. Hal ini dapat diperhatikan dalam syair Hamzah Fansuri seperti berikut:

Al-Sakhi habib Allah wa-law kana fasiqan
Al-Bakhil aduww Allah wa-law kana zahidan
Barang siapa sakhi kariman kamilin
Ialah sampai kepada amalan salihin (365)

(7) Khusuk dan Tawaduk (Tunduk dan Rendah Diri) : Firman Allah (s.w.t) { {واخفض جناحك للمؤمنین (al-Hajr: 88). Maksudnya “Dan rendahkanlah sayap kamu (khuduk dan tawaduklah) kepada orang-orang mukmin”. Sabda Nabi (s.a.w) (لا یدخل الجنة من في قلبھ ثقال ذرة من كبر، ولا یدخل النار من في قلبھ مثقال ذرة من إیمان..) (Sahih Muslim, No. 91, Bab Tahrim al-kibr wa bayanih. Maksudnya “Tidak masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan takabur walaupun sebesar zarah, dan tidak masuk neraka seseorang yang ada di dalam hatinya iman walaupun sebesar zarah”. Firman Allah {وعباد الرحمن الذین یمشون على الأرض ھونا} (al-Furqan: 63). Maksudnya “Dan hamba kepada Allah yang maha penyayang itu, mereka berjalan (di atas muka bumi) dalam keadaan tunduk dan hina”. Hamzah telah menyatakan dalam syairnya bahawa sifat takabur dan besar diri (ghurur) adalah sifat kesyaitanan. Mereka yang bersifat demikian dibenci oleh Allah (s.w.t). Untuk mendampingi Allah (s.w.t) seseorang itu perlu membuang sifat takabur dan besar diri seperti mana yang digambarkan oleh Hamzah dalam syairnya yang berikut:

Takabbur dan ghurur kerja syaitani
Yaitu jauh dari rahmani
Emas dan perak alat nafsani
Di manakan sampai kepada rabbani (365)

Hamzah Fansuri sentiasa mengangap dirinya asing (gharib), hina lemah (da‘if) miskin dan tidak bertakbur dan kenal hakikat dirinya. Sifat tawaduk dan rendah diri dapat dilihat dengan jelas dalam banyak syairnya seperti:

Hamzah gharib terlalu hina
Dimanakan dapat sampai kepada Rabb al-‘alamin (2001: 375)

Hamzah miskin orang ‘uryani
Seperti Ismail jadi qurbani
Bukannya ‘Ajami lagi ‘Arabi (2001: 387)

Hamzah Fansuri sungguh pun hina
Tiada radi akan Tur Sina (2001: 400)

Hamzah Fansuri sungguhpun da‘if
Haqiqat hampir kepada Zat al-Syarif (2001: 409)

Hamzah juga menasihati manusia supaya jangan bersifat takabur dan sentiasa mengenal diri dan menginsafi diri. Ini dapat dilihat dalam bait syairnya yang berbunyi:

Kenal dirimu hai anak jamu
Jangan lupa akan diri kamu
Ilmu haqiqat yogya kau ramu
Supaya terkenal ‘ali adamu (386)

(8) Ahkam Safar (Hukum Musafir): Manusia dimuka bumi ini ibarat suatu perjalanan (musafir) menuju ke akhirat. Dunya baginya adalah sementara dan akhirat jua yang kekal abadi. Firman Allah وللآخرة خیر وأبقى} } (al-Duha: 4). Maksudnya “Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal abadi”. Pesan Nabi (s.a.w) dalam hadisnya (... .(كن في الدنیا كأنك غریب Maksudnya “Jadikan diri kamu di atas dunia ini seperti orang asing...”. Barang siapa yang menyayangi dunia yang hampir dan sementara ini (qarib) dia tidak akan menjadi hamba Allah (s.w.t) yang dikasihi, kerana kebergantungannya kepada dunia melebihi kebergantungannya kepada Allah (s.w.t). Hal ini dijelaskan oleh Hamzah dalam syairnya yang berbunyi:

Hadis ini dari Nabi al-habib
Qala: kun fi al-dunya ka’annaka gharib
Barang siapa da’im kepada dunya qarib
Manakan dapat menjadi habib (365)

Dalam masa berkelana di bumi Allah ini, manusia harus mengenali dirinya. Dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi dan kembali. Manusia juga perlu mempunyai pegangan dan akidah yang kukuh ibarat mengharungi lautan dengan kapal dan berkemudi. Hal ini dijelaskan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

Kenali dirimu hai anak dagang (384)
Jadikan markab tempat berulang
Kemudi tinggal jangan goyang
Supaya dapat hampir kau pulang

Dalam meneruskan perjalanan hidup yang sementara ini, Hamzah meminta supaya seseorang itu mesti berbekalkan ilmu yang secukupnya. Ini kerana dengan berbekalkan ilmu yang cukup, seseorang itu dapat mengharungi perjalanan kehidupan dengan mudah. Hal ini dapat dilihat dalam syair Hamzah seperti yang berikut:

Anak mu‘allim tahu akan jalan
Da’im belayar dilaut nyaman
Markab-mu tiada berpapan
Olehnya itu tiada berlawan (384)

(9) Makrifah Allah (Mengenal Allah (s.w.t): Sabda nabi (s.a.w) (إن دعامة البیت أساسھ، ودعامة الدینوالیقین والعقل القامع) 􀍿 المعرفة با (lihat al-Qusyayri, 1993: 311). Maksudnya “Tiang rumah adalah asasnya, tiang agama adalah mengenali Allah, yakin kepadanya, dan menjauhkan daripada melakukan maksiat”. Manusia diminta mengenali tuhannya melalui pemerhatian tentang kejadian dirinya dan makhluk lain seperti langit, bumi, laut, unta, pokok dan lain-lain lagi. Firman Allah (s.w.t) {أفلا ینظرون إلى الإبل كیف خلقت وإلى السماء كیف رفعت وإلى الأرض كیف بسطت وألى الجبال كیف نصبت...} (al-Ghasyiyah: 17). Maksudnya “Tidakkah kamu melihat kepada unta bagaimana ia dijadikan, dan kepada langit bagaimana ia diangkat, dan kepada bumi bagaimana ia dihamparkan, dan kepada bukit bagaimana ia dipasakkan?..” Dengan demikian manusia akan dapat mencari Allah dan megenali Allah (S.W.T yang maha tinggi (‘ali) seperti kata Hamzah dalam syairnya:

Kenal dirimu hai anak jamu
Jangan lupa akan diri kamu
Ilmu hakikat yogya kau ramu
Supaya terkenal ‘ali adamu (2001: 386)

Sesiapa yang mengenali hakikat kejadian dirinya daripada lemah kepada kuat dan lemah, dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi, pasti akan mengenali siapa penjadinya. Sabda Nabi (s.a.w) ( من عرف نفسھ فقد عرف ربھ ). Maksudnya ”Sesiapa yang mengenali dirinya, maka sesungguhnya dia telah mengenali siapa tuhannya”. Tuhan itu adalah satu, tidak menjelma dalam diri manusia, tidak bertempat dan tidak boleh disifatkan bentuknya. Hakikat tuhan ini dinyatakan oleh Hamzah dalam syairnya seperti berikut:

Man ‘arafa nafsah sabda Baginda Rasul
Fa-qad ‘arafa rabbah tiada dengan hulul
Wahid-kan olehmu fa‘il dan maf‘ul
Jangan di-takhsis-kan maqam tempat nuzul (2001: 361)

Tuhan itu adalah satu dan tidak dapat dilihat (satir). Pengakuan “tiada tuhan melainkan Allah (s.w.t)” adalah pada zahirnya tetapi pada hakikatnya menafikan tuhan itu bersifat fana’ (musnah seperti makhluk lain) dan mengiktiraf bahawa Allah (s.w.t) itu kekal selama-lamanya. Sesiapa yang menafikannya, maka ia menjadi kafir. Pengakuan seperti itu sudah cukup (kafa’) untuk mengenali Allah. Hal ini dinyatakan oleh Hamzah dalam syairnya seperti yang berikut:

La ilaha illa Allah ma’nanya zahir
Barang yang munkir menjadi kafir
Dengan hakikat insan terlalu satir
Manakan jauh pada sekelian nazir

La itulah yang bernama fana’
Dalamnya ’ithbat ’illa Allah al-baqa’
Mengenal Allah demikian pun kafa’
Mitsal ular Musa hakikatnya asa (366-367)

Hamzah menerangkan hakikat dan konsep Allah (s.w.t) yang sebenar, dimana ianya selari dan tidak bercangggah dengan syariat Islam dan pengangan Ahli Sunnah dan Jamaah. Antara hakikat Allah (s.w.t) yang dikemukanan oleh Hamzah dalam Syairnya adalah seperti dalam bait-bait berikut:

Mengatakan diri Tuhan tidak bermaqam (2001: 360)

Kalam itu datang dari ma‘syuq
Mengatakan dirinya
la tahta wa-la fawq Jangan
dii‘tiqadkan seperti makhluk (2001: 360)

Dzatnya itu tiada berkiri kanan
Zuhurnya da’im tiada berkesudahan
Tiada berjihat belakang dan hadapan (2001:360)

Baca: Wa Allah khalaqakum wamata‘malun (2001: 366)

Wa huwa ma‘akum ini maknanya dalam (366)
Wa huwa al-mawjud terlalu baqi
Wahuwa al-awwal seperti ‘ali

Wahuwa al-akhir da’im nurani (2001: 355)
Tuhan kita yang bersifat hayat

Terlalu suci dari sittu jihat (2001: 360)
Tuhan kita itu yang empunya ‘alam

Menunjukkan kita ma‘rifat yang dalam (2001: 411)
Tuhan kita itu tiada bermaqam
Lahirnya nyata dengan rupa insan
ma‘rifah nafsah suatu burhan

faqad ‘arafa rabbah terlalu bayan (2001: 373)
Tuhan kita itu tiada ia ba‘id

Terhampir pulang dari habl al-warid (2001: 374)
Tuhan kita itu tiada bermitsal

Bukannya bintang dan syamsul hilal (2001: 375)
Tuntuti ilmu haqiqat al-wusul
Kerana ilmu inilah pada Allah qabul

i‘tiqad-mu jangan ittihad dan hulul (374)
Laysa kamithlihi syay’ maknanya bayan
Dalam Taurat, Injil Zabur dan Furqan
Wahuwa al-sami‘ al-basyir pada sekelian awam

Demikian sekarang, al-’an kama kana (361)
La ’ilaha ’illa Allah maknanya Zahir
Barang mungkir menjadi kafir
Dengan hakikat insan terlalu satir

Manakan jauh pada sekalian nazir (366)
La itulah yang bermakna fana’
Dalamnya ithbat ’illa Allah al-baqa’

Mengenal Allah demikian pun kafa (367)

Melalui bait-bait syair di atas dapat disimpulkan bahawa Allah (s.w.t) tidak bertempat, tidak di atas dan tidak di bawah, tidak di kanan dan tidak di kiri, tidak di hadapan dan tidak dibelakang.Allah (s.w.t) tidak seperti makhluk. Allah itu kekal selama-lamanya, tidak mati dan tidak berkesudahan. Allah terlalu hampir dengan hambanya dan dialah yang menjadikan hambanya. Allah (s.w.t) juga tidak boleh dibuat perbandingan, tidak seperti binatang, bukan seperti Matahari, dan bukan seperti bulan.

Allah (s.w.t) yang menjadikan manusia dan pekerjaannya.. Allah (s.w.t) maha mendengar dan Dia jualah yang menganjar manusia dan memberi ilmu. Allah itu tidak berubah, dahulu sekarang dan akan datang sama sahaja.

Allah bersifat dengan kesempurnaan dan bertentangan dengan manusia yang bersifat lemah. Allah (s.w.t) sebenarnya tidak bersatu dan tidak menjelma dalam diri manusia. Bukti kewujudan Allah ialah wujudnya manusia. Sesiapa yang mengenali hakikat dirinya, maka dia telah mengenali Allah. Ini kerana hakikat manusia itu makhluk yang lemah, fana, ada kesudahan, maka hakikat Allah bukan seperti dirinya dan sudah pasti bertentangan sama sekali.

Syair-syair Hamzah Fansuri khususnya dalam lampiran buku Tasawuf Yang Tertindas oleh Abdul Hadi Wiji Muthari, banyak mengandungi maqamat kesufian (kedudukan) yang menjadi pegangan dalam ajaran kesufian yang juga merupakan ajaran syariat Islam dan Sunnah Nabi (S.A.W). Antara maqamat yang dapat dilihat dalam syairnya adalah seperti taubat, bermujahadah (Mujahadah), mengasingkan diri untuk beribadat (khalwah dan ‘uzlah), zuhud, takut, lapar dan meninggal syahwat, khusuk dan tawaduk, tawakkal, yakin, memerhati Allah (muraqabah) melalui amalan yang saleh, penghambaan (‘ubudiyyah), istiqamah, bebas, zikir, murah hati, doa, kemiskinan (faqr), ahkam safar (perjalanan hidup), pesahabatan (suhbah), tauhid, meninggalkan dunia (al-khuruj mi al-dunya), mengenal Allah (ma‘rifah Allah), kasih sayang (mahabbah), kecintaan (syuwq), dan takwa.

Kesemua maqamat tersebut berdasarkan bukti daripada al-Qur’an dan hadis Nabi (S.A.W). Dalam kajian yang singkat ini pengkaji telah membicarakan sebahagian kecil daripada maqamat yang terdapat dalam syair Hamzah Fansuri. Kesemua maqamat tersebut adalah merupakan ajaran Islam yang cuba diketengahkan oleh Hamzah melalui kaedah syair yang difikirkan boleh menarik minat dan memberi kesan yang tersendiri. Hal ini diakui oleh Sa’id Abd al-‘Azim bahawa tasawuf pada umumnya mempunyai tiga fenomena utama yang kesemuanya digalakkan oleh al-Qur’an. Pertama, mengambil berat tentang jiwa, muraqabah, dan penyucian jiwa terhadap dosa. Kedua, memperbanyakkan zikir kepada Allah (s.w.t). Ketiga, zuhud daripada dunia tanpa terikat dan terpikat dengan kemewahannya (2007: 22).