Wednesday, December 28, 2011

Biografi Hamzah Fansuri Berdasarkan Minuskrip Melayu Lama.

Dalam Ensiklopedi Umum (1973) mengatakan Hamzah Fansuri adalah seorang penyair dan ahli tasawuf yang berasal dari Barus, Sumatera. Aliran Hamzah Fansuri dalam ilmu tasawuf sangat terpengaruh sehingga ke Tanah Jawa. Hamzah Fansuri banyak terkesan dengan karya-karya serta ketokohan Ibnu Arabi, Al-Hallaj, Al-Djunaid dan Jajaludin ar-Rumi kerana nama-nama ini ada disebut dalam kebanyakkan karya Tasawwufnya.

Aliran Hamzah Fansuri terkenal dengan teori Wahdatul Wujud di mana fahaman ini sangat ditentang oleh Nuruddin Ar-Raniri. Antara bentuk karangannya yang sangat terkenal adalah Syair Perahu, Syair Burung Pungai, Syair Dagang dan lain-lain (Hasan Shadily 1973: 321). Mengenai tarikh lahir Hamzah Fansuri ia masih diperdebatkan sehingga ke hari ini, Ooi Keat Gin (2004) dalam ensklopedianya menyatakan bahawa beliau lahir pada fasa kedua dalam abad ke-16 di bawah kepimpinan serta kesultanan Sultan Alaudin Riayat Shah Ibn Firman Shah (1589-1604) (Ooi Keat Gin. 2004: 560). Drewes dan Brakel (1986) pula berpendapat yang mengatakan bahawa beliau hidup sehingga zaman kesultanan Iskandar Muda (Mahkota Alam) iaitu antara tahun 1607 sehingga 1636 masihi. Berdasarkan penelitian dan kajian jelas mengatakan bahawa beliau meninggal dunia antara sebelum atau pada tahun 1590 masihi (Drewes dan Brakel 1986:3). Manakala Naquib Al-Attas dalam membicarakan mengenai tahun kelahiran Hamzah Fansuri, beliau membawakan beberapa bait syair Hamzah Fansuri yang boleh dijadikan justifikasi kepada isu ini, iaitu:

Sjah ‘Alam Radja jang adil
Radja Qoetoeb jang sampoerna kami
Wali Allah sampoerna wasil
Radja arif lagi mukammil
Bertambah daulat Sjah

Bertambah daulat Sjah ‘Alam
Makota pada sekalian Alam
Karoenia ilahi Rabb al-‘alamina
Menjadi radja kedoe alam.

Dari keterangan dan bukti yang dikemukakan sarjana-sarjana di atas dapat penulis tegaskan, bahawa Hamzah Fansuri hidup semasa Sultan ‘Ala al-Din Riayat Syah (1589-1602) atau pada akhir abad ke-16 sampai abad ke-17 dan diperkirakan Hamzah Fansuri meninggal dunia sebelum atau pada 1016/1607 sesuai dengan bukti-bukti yang dikemukan oleh Naquib al-Attas (Naguib al-Attas 1970:70). Lebih tepat lagi A. Hasmy dalam kertas kerjanya mengatakan bahawa pada akhir pemerintahan Sulthan Iskandar Muda Meukuta Alam (wafat 29 Rajab 1046 H = 27 Desember 1636 M.), Syekh Hamzah Fansuri meninggal dunia di Wilayah Singkel, dekat kota kecil Rundeng. Beliau dimakamkan di Kampung Oboh Simpang Kiri Rundeng di Hulu Sungai Singkel. (A. Hasmy 1984:11).

Manakala tempat Hamzah Fansuri dilahirkan, kebanyakkan sarjana sepakat beliau berasal dari Fansur bersempena dengan nama dibelakangnya iaitu Fansuri. Fansur adalah sebuah pelabuhan Pantai Barat di Utara Sumatera antara Singkil dan sibolga. Orang luar menggelarkan tempat ini sebagai Fansur tetapi ia sebenarnya Barus dalam bahasa tempatan (Ooi Keat Gin. 2004: 561). Memetik dari dari karya (Naguib al-Attas 1970:5-8), beliau mempunyai pendapat berlainan dengan mengatakan bahawa Hamzah pernah menulis dalam syairnya bahawa beliau lahir di Shahr Nawi (Shah r-i-Nawi) atau Ayutthaya, Thailand. Tetapi disanggah Drewes dan Brakel (1986) yang mengatakan ini hanya teori dan kemungkinan Hamzah Fansuri telah menjelajah atau bermusafir sehingga ke Ayutthaya dan menuntut bersama orang Parsi di sana berbanding mengatakan bahawa ia lahir di sana (Drewes dan Brakel 1986:5).

Untuk lebih tepat, penulis menyertakan satu bait syair yang menerangkan tempat kelahiran Hamzah Fansuri yang berbunyi:

Hamzah nin asalnya Fansuri
Mendapat wujud di tanah Shahrnawi
Beroleh khilafat ilmu yang alu
Daripada ‘Abd al-Qadir Jilani.

Hamzah Fansuri semasa hayat hidupnya sangat suka menjelajah atau bermusafir keseluruh Nusantara dan Tanah Arab, antaranya Pahang, Ayttuhaya, Mughal India, Mekah, Madinah dan juga Baghdad. Oleh yang demikian dalam mengagaskan ilmu wahdatul wujud, beliau sangat terpengaruh dengan pandangan Ibnu Arabi yang berasal dari Sepanyol ketika mana beliau menjelajah ke Mughal India dan juga Parsi sekitar abad ke-16. Hamzah Fansuri ketika mana mengajarkan doktrin wahdatul wujud, beliau berada di Aceh sekitar suku terakhir abad ke-16 yang dianggap sebagai kuasa besar dalam politik dan ketenteraan dan juga pusat Islam yang pesat menggantikan Melaka yang ketika itu ditawan oleh Portugis pada 1511.

Hamzah Fansuri banyak dikritik oleh Nuruddin al-Raniri (1658). Beliau mengatakan bahawa Hamzah dan Syamsuddin Sumatrani yang mengajarkan wahdatul wujud adalah sesat dan bertentangan dengan apa yang difahami oleh beliau. Ini adalah kerana di India, wahdatul wujud sangat ditentang oleh ahli aqidah di India dan situasi yang sama dibawa ke Aceh dengan mempengaruhi Sultanah Taj al-Alam Safatudin Shah (1641-1675) untuk membakar dan mengharamkan nama Hamzah Fansuri dan karyanya. Oleh yang demikian, nama dan peranan Hamzah Fansuri banyak tidak kelihatan dalam karya Indonesia seperti Hikayat Acheh (Ooi Keat Gin. 2004: 561-562).

No comments: