Saturday, June 20, 2009

Fahaman Martabat Tujuh - Shaikh Hamzah Fansuri Bukan Pengasasnya..!

Umum mengatakan bahawa ajaran wujudiyah yang berkembang di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sampai saat ini hampir semuanya adalah ajaran martabat tujuh. Pendapat demikian adalah SALAH!. Alasannya ialah ajaran martabat tujuh baru berkembang pada awal abad ke-17 dengan Syamsudin Pasai sebagai penganjurnya yang pertama. Syaikh Hamzah Fansuri, dan juga para wali pulau Jawa abad ke-16 seperti Sunan Bonang dan Sunan Kalinja, tidak pernah menjadi penganjur ajaran martabat tujuh.

Tidak dinafikan ajaran martabat tujuh termasuk dalam ajaran wujudiyah, tetapi ia telah melalui pelbagai pengaruh terutamanya daripada india, seperti praktik yoga dalam berzikir, suatu amalan yang dikritik keras oleh Hamzah Fansuri. Umum maklum bahawa pengasas pertama ajaran martabat tujuh ialah Mohamad Fadlulah Al-Burhanpuri (1620) yang berasal daripada India dan semasa ajaran ini diasaskan pelbagai gerakan sinkresis keagamaan dan mistik telah berkembang di India, khususnya pada zaman Sultan Akbar dan Dara Sukoh.

Sebagai ahli tasauf Shaikh Hamzah Fansuri tidak pernah memperlihatkan dalam karya-karyanya bahawa beliau mempunyai hubungan dengan tasauf yang berkembang di India pada abad ke-16 dan 17. Shaikh Hamzah Fansuri mengaitkan dirinya dengan ajaran para sufi Arab dan Parsi sebelum abad ke-16. Terutamanya Bayazid Bisthami, Mansur Al-Hallaj, Fariduddin 'Attar, Syekh Junaid Al-Baghdadi, Ahmad Ghazali, Ibn. Arabi, Rumi, Maghribi, Mahmud Shabistari, 'Iraqi dan Jami. Tokoh idola Shaikh Hamzah Fansuri di dalam cinta ('isyq) dan makrifat ialah Bayazid dan Al-Hallaj.

No comments: